Ticker

6/recent/ticker-posts

Membunuh Adalah Dosa Besar - Tafsir Ibnu Kasir

Dan (ingatlah), ketika Kami mengikat perjanjian setia dengan kamu: "(Bahawa) janganlah kamu menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan) sesama sendiri, dan janganlah kamu usir-mengusir sesama sendiri dari kampung masing-masing". Kemudian kamu telah berikrar mematuhi perjanjian setia itu, dan kamu sendiri pula menjadi saksi (yang mengakui kebenarannya). Kemudian kamu ini (wahai Bani Israil), kamu berbunuh-bunuhan sesama sendiri dan kamu usir satu puak dari kaum kamu keluar dari kampungnya; kamu pula saling bantu-membantu (dengan orang lain) untuk menentang mereka dengan melakukan dosa dan penganiayaan; padahal kalau mereka datang kepada kamu sebagai orang tawanan, kamu tebus mereka; sedang perbuatan mengusir mereka diharamkan juga atas kamu. Sesudah itu maka patutkah kamu hanya percaya kepada sebahagian (dari isi) Kitab Taurat dan mengingkari akan sebahagian yang lain? Maka tiadalah balasan bagi orang yang berbuat demikian itu dari antara kamu, selain dari kehinaan ketika hidup di dunia, dan pada hari kiamat akan ditolak mereka ke dalam azab seksa yang amat berat. Dan (ingatlah), Allah tidak sekali-kali lalai akan apa yang kamu lakukan. [Surah al-Baqarah, 2: 84-85]

Membunuh Adalah Dosa Besar - Tafsir Ibnu Kasir | Firman Allah ini sebagai membangkang tindakan Yahudi yang hidup pada zaman Nabi s.a.w di Madinah, kerana tindakan peperangan yang mereka lakukan melawan Aus dan Khazraj itu tidak ada untungnya serta tidak membantu. Aus dan Khazraj adalah orang-orang Jahiliyah yang sentiasa menyembah berhala (patung-patung), sementara mereka itu telah banyak pengalaman di dalam perang.

Kaum Yahudi Madinah terbahagi kepada tiga kabilah: Bani Qainuqa, Bani Nadir sekutu Khazraj, dan Bani Quraizah sekutu Aus. Peperangan itu tercetus kerana di antara mereka ada yang menyalakan api peperangan, maka saling berbunuhan terjadi di antara satu puak dengan puak yang lainnya. Begitu juga dengan sekutu-sekutunya, Yahudi membunuh musuh-musuhnya. Kadang-kadang mereka saling berbunuhan sesama Yahudi lainnya yang bersekutu dengan puak yang lain (sebagai musuh), padahal tindakan seperti itu diharamkan berdasarkan ketentuan agama dan nas kitab (pegangan) nya, kemudian mereka saling mengusir dan merampas harta, perhiasan bahkan perkakasan rumah. Selanjutnya apabila peperangan itu berakhir, mereka melepaskan tawanan dari pihak yang kalah sebagai sikap mengamalkan hukum Taurat.

Oleh kerana itu, Allah s.w.t berfirman, "Apakah kamu beriman kepada sebahagian Kitab (Taurat) dan ingkar kepada sebahagian (yang lain)?" dan berfirman "Dan ingatlah ketika Kami mengambil janji kamu, "Janganlah kamu menumpahkan darahmu (membunuh orang) dan mengusir dirimu (saudara sebangsamu) dari kampung halamanmu"". Iaitu, janganlah kalian saling membunuh, mengusir, dan saling mengalahkan. Pengertian ini sebagaimana terdapat dalam firman Allah "...bertaubatlah kepada Penciptamu dan bunuhlah dirimu. Itu lebih baik bagimu di sisi Penciptamu. Dia akan menerima taubatmu." [Surah al-Baqarah, 2: 54].

Dikatakan demikian, kerana saudara seagama seperti satu jiwa, sebagaimana Rasulullah s.a.w bersabda, "Perumpamaan orang-orang yang beriman dalam hal saling mencintai, mengasihi, dan menyayangi bagaikan satu tubuh. Apabila ada salah satu anggota tubuh yang sakit, maka seluruh tubuhnya akan turut terjaga (tidak dapat tidur) dan panas (turut merasakan kesakitannya)." [Ibnu Kasir, Tafsirul Qur'ani'l Azimi, Jilid I, 1421 H/2000 M: 476].

Hadis Nabawi

Daripada Anas r.a, dia berkata, Nabi s.a.w ditanya tentang Kaba'ir (dosa-dosa besar). Lalu baginda bersabda, "Menyekutukan Allah, derhaka kepada kedua ibu bapa, membunuh orang dan bersumpah palsu." (Hadis Riwayat Bukhari, Sahih Bukhari, Juz 4, No. Hadis 5977, 1400 H: 88)


Sumber: Al-Quran Al-Karim al-haramain Karya Bestari

Post a Comment

8 Comments

  1. moga kita dijauhkan sejauh-jauhnya dosa besar begini..

    ReplyDelete
  2. Dalam hidup ini banyak perkara perlu diperhalusi dengan ilmu kan..setiap tindakan..percakapan..mesti berhati-hati.Moga kita sentiasa Allah hindarkan dari melakukan hal-hal yang menyebabkan dosa besar baik sengaja atau tidak sengaja.

    ReplyDelete
  3. haram mengambil nyawa org yg x bersalah. berdosa besar tu...

    ReplyDelete
  4. sekarang ni banyak sangat kes membunuh hanya sebab marah dan cemburu

    ReplyDelete
    Replies
    1. ye fj...kita pun takut jadinya bila tengok berita kes bunuh

      Delete

Thank you for coming by. Comments are your responsibility. Any comments are subjected to the Act 588 MCMC 1988. Comment wisely, and do it with pure intentions. Any comment with link(s) will be deleted to avoid spam.

For any inquiries, email: sunahsakura@gmail.com