Ticker

6/recent/ticker-posts

Hakikat Melaksanakan Solat - Tafsir Ibnu Kasir

"Iaitu orang-orang yang beriman kepada perkara-perkara yang ghaib, dan mendirikan (mengerjakan) sembahyang serta membelanjakan (mendermakan) sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada mereka." [al-Baqarah, 2: 3]

Hakikat Melaksanakan Solat - Tafsir Ibnu Kasir | Yang dimaksudkan dengan "melaksanakan solat" adalah mendirikan solat dengan menunaikan fardhu-fardhunya. Ad-Dahak berkata, dari Ibnu Abbas r.a., yang dimaksudkan dengan "melaksanakan solat" adalah sempurna rukuk, sujud, bacaan, kekhusyukan dan sempurnanya menghadap kiblat. Qatadah berkata, yang dimaksdu "melaksanakan solat" adalah menjaga waktu-waktunya, wuduknya, rukuknya dan sujudnya. Muqatil bin Hayyan berkata, "melaksanakan solat" adalah menjaga waktu-waktunya, menyempurnakan wuduknya, bacaan al-Quran, tasyahud dan selawat kepada Nabi s.a.w., inilah yang dimaksudkan dengan melaksanakan atau mendirikan solat.

Ibnu Kasir berkata, "Dalam banyak-banyak ayat al-Quran, seringkali Allah s.w.t. menggandingkan solat dan sedekah di dalamnya, hal itu tiada lain kerana solat semata-mata adalah hak Allah dan persembahan seorang hamba untuk beribadah kepada-Nya. Solat termasuk sebagai bentuk pengesaan dan sanjungan seorang hamba terhadap-Nya, pengagungan dan penghambaan hamba kepada-Nya, doa dan tawakal seorang hamba kepada-Nya. Sedangkan infak adalah persembahan kebaikan terhadap sesama makhluk dengan memberi manfaat kepada mereka seboleh yang mungkin. Orang-orang yang lebih utama untuk mendapatkannya adalah kaum kerabat, keluarga, hamba sahaya kemudian orang-orang yang lain."

Pengertian solat dalam kalangan orang-orang Arab maknanya adalah doa, kemudian solat digunakan dalam pengertian syariat yang bererti adanya rukuk, sujud dan gerakan-gerakan lain pada waktu yang sudah ditentukan, dengan syarat yang harus dipenuhi, begitu juga sifat dan jenis-jenisnya. (Ibnu Kasir, Tafsirul Qur'an'il 'Azimi, Jilid 1, 1421 H/2000 M: 269-271).

Hadis Nabawi

Daripada Muaz bin Jabal r.a. dia berkata, "Saya pernah bersama Nabi s.a.w dalam suatu perjalanan. Suatu pagi, saya berada dekat dengan baginda, saya berkata, "Wahai Rasulullah, khabarkanlah kepadaku tentang suatu amal yang akan memasukkanku ke dalam syurga dan menjauhkanku dari neraka."

Baginda menjawab, "Kamu telah menanyakan kepadaku tentang perkara yang besar, walaupun sesungguhnya ia merupakan perkara yang ringan bagi orang yang telah Allah jadikan ringan baginya, amalan itu adalah beribadah kepada Allah dan tidak menyekutukan-Nya dengan sesuatu apa pun, mendirikan solat, menunaikan zakat, berpuasa di bulan Ramadhan, kemudian menunaikan haji ke Baitullah."

Lantas baginda bersabda, "Mahukah kamu aku tunjukkan pada pintu-pintu kebaikan? Amalan itu adalah puasa, puasa adalah perisai, sedekah akan menghapuskan kesalahan sebagaimana air memadamkan api, dan solat seorang lelaki pada pertengahan malam."

Lantas baginda bersabda lagi, "Mahukah kamu aku tunjukkan pokok agama, tiangnya dan puncaknya?" Aku menjawab, "Ya, Rasulullah." Baginda bersabda, "Pokok agama adalah Islam, tiangnya adalah solat, sedangkan puncaknya adalah jihad." (Hadis Riqwayat At-Tirmizi, Sunan At-Tirmizi, Juz 5, No. Hadis, 2616, 1397 H/1977 M: 11-12).


Sumber: Al-Quran Al-Karim al-haramain Karya Bestari

Post a Comment

6 Comments

  1. Semoga sentiasa dapat menjaga solat yang wajib ini. Terima kasih Sunah atas perkongsian ini.

    ReplyDelete
  2. Orang yang menjaga solatnya
    orang yang akan berjaya di dunia dan di sanan nanti

    ReplyDelete
  3. Semoga terus sihat agar dapat melaksanakan solat selalu....
    Amin.....

    ReplyDelete

Thank you for coming by. Comments are your responsibility. Any comments are subjected to the Act 588 MCMC 1988. Comment wisely, and do it with pure intentions. Any comment with link(s) will be deleted to avoid spam.

For any inquiries, email: sunahsakura@gmail.com