Ticker

6/recent/ticker-posts

Buat Sahabatku, Shin


Hari ini. Malam ini, entah kenapa hati ini bagai terusik sedikit.

Terusik dek kenangan lama yang sebenarnya telah terlipat jauh dalam sejarah.

Whatsapp daripada salah seorang ahli whatsapp group tentang seseorang yang telah lama 'hilang' kala meremang senja tadi membuatkan jiwa rasa sedikit terganggu.

Perasaan apakah ini?

Aku buka laptop dan menaip url blognya di Google.

Masih wujud.

Aku belek satu per satu entri blognya. Terhenti di beberapa entri. Masya Allah. Indahnya tulisan itu. Hati tersentuh di beberapa entri yang aku tahu kepada siapa ia ditujukan dan makna tersirat daripada yang tersurat di hadapan mataku. Tidak sangka ya, hampir 7 tahun sudah berlalu?

Sahabatku, Shin - kau tahu siapa kau - aku sudah memaafkan kamu. Perasaan yang meliang-libu ini, barangkali kerana aku resah apabila mengenangkan selama 5 tahun ini kamu masih tertanya-tanya adakah aku masih marah dan tidak mahu memaafkan kamu. Mungkin juga kerana aku takut jika aku atau kamu pergi dahulu menghadap Illahi, kita saling tidak sempat memaafkan.

Ketahuilah sahabat, aku sudah redha akan segalanya.

Redha.

Memang sukar dicapai awal dahulu. Tetapi benarlah masa akan menentukan segalanya. Alhamdulillah atas kenangan waktu lalu kita. Aku hanya mahu kamu tahu, perkenalan kita sebelum semua yang berlaku itu adalah salah satu keindahan dalam hidupku. Terima kasih untuk semua itu walau hakikat sebenar hanya Allah yang Maha Mengetahui. Sesungguhnya aku tidak layak untuk menghukum. Boleh saja, orang yang dahulu jahil, kini menjadi lebih baik dan dekat di sisi Allah. Malah boleh saja, orang yang dahulu kita nampak dekat pada Allah, kini adalah yang sangat jauh terpesong perjalanannya. Manusia berubah. Mudah-mudahan kita tergolong dalam yang pertama.

Semoga Allah redha, dan bebaskan kamu dan aku sebebas-bebasnya.

Post a Comment

0 Comments