Sejak akhir-akhir ini, semakin banyak aku mendengar berita kematian orang di sekelilingku.
Baik sahabat, sahabat kepada sahabat, ibu saudara sahabat, ibu mertua sahabat, adik-beradik sahabat, suami atau isteri sahabat, guru-guru sahabat, malah juga orang yang aku kenali tetapi pastinya tidak mengenaliku. Terutamanya dari kalangan para ulama di serata dunia.
Tanda kiamat kecil, bukan?
Boleh saja yang meninggal itu orang yang selalu kita kagumi dan sanjungi kerana kebaikannya, alhamdulillah. Dan boleh juga yang meninggal itu orang yang kita tidak berapa senangi kerana sisi buruk sikapnya. Golongan yang kedua itulah, apabila kita dengari khabar pemergiannya, cukup meninggalkan kesan di hati. Mungkin juga langsung tidak meninggalkan apa-apa kesan.
Kesan tersentap kerana kita dahulu pernah berkata yang tidak elok tentangnya, tetapi apabila dia pergi menghadap Illahi, kita langsung tidak sempat untuk meminta maaf. Allah, Allah.
Pernahkah kalian terfikir tentang itu?
Jika ya, apa yang kalian lakukan dan akan lakukan setelah itu?
Sikap buruk seseorang itu memang wajar kita benci, tetapi orangnya, wajarkah kita benci? Jika kita tidak mampu untuk mengubah sikapnya menjadi lebih baik walau pelbagai usaha telah kita lakukan, berdoa saja pada Tuhan. Moga-moga satu hari nanti terbuka hatinya dek suluhan hidayah-Nya. Hati manusia ini pembolak-baliknya adalah Tuhan. Kita hanya mampu menyeru kepada jalan kebaikan, masuk atau tidak mereka ke jalan tersebut, adalah tetap hak Tuhan.
Muhasabah diri, minta ampun banyak-banyak pada Tuhan, jika dulu kita selalu berkata-kata yang tidak baik.
Kerana “Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, maka hendaklah dia berkata yang baik atau hendaklah diam.” (HR. al-Bukhari dan Muslim dari sahabat Abu Hurairah).
0 Comments
Thank you for coming by. Comments are your responsibility. Any comments are subjected to the Act 588 MCMC 1988. Comment wisely, and do it with pure intentions. Any comment with link(s) will be deleted to avoid spam.
For any inquiries, email: sunahsakura@gmail.com