Ticker

6/recent/ticker-posts

Ku Bawa Pergi Cintamu

Dia menutup buku yang belum habis dibaca. Jam sudah menunjukkan pukul 12.50 malam. Sudah beberapa malam masa tidurnya berubah sedikit. Komputer riba dibiarkan di atas meja. Tidak ditutup.

Naik ke atas katil, telefon bimbit dicapai. Tiada mesej atau panggilan yang terlepas. Insyirah menarik nafas dalam-dalam. Sekali-sekali kedengaran lafaz istighfar antara helaan nafas. Dia berbaring, cuba untuk melelapkan mata. Namun, fikiran yang agak bercelaru akhir-akhir ini agak meresahkan jiwanya.

Lalu zikir menyebut nama Pencipta meniti di bibir, menemani hingga dia terlelap.

*****

Seminggu yang lepas.

"Insyirah!"

Suara itu milik Noorah, sahabat baiknya. Insyirah berpaling. Nampak sahaja wajah Noorah, dia melemparkan senyum. Noorah mendekat, mencapai tangannya dan berpeluk cium sebentar. Tidak dipedulikan mata-mata yang melihat mereka di hadapan restoran itu.

"Sihat ke ni? Nape macam makin kurus?" Noorah bertanya.

"Alhamdulillah, sihat aje la..." Insyirah masih senyum. "Jom!"

Mereka masuk ke dalam restoran. Makanan ditempah ala kadar.

"Noorah..." Insyirah bersuara perlahan setelah pelayan beredar.

"Ye, sayang... Nape ni?" Noorah tertanya-tanya. Seperti ada sesuatu yang sahabat baiknya pendamkan dalam hati. Sesuatu yang sangat berat mungkin. Jarang sekali Insyirah nampak gundah begini. Selama ini, dia seorang yang sangat ceria dan murah dengan senyuman.

"Kalau Noorah tau Noorah akan pergi jauh, Noorah akan buat ape?" Insyirah merenung mata Noorah dalam-dalam.

"Insyirah!"

*****

"Maafkan abang, abang tak boleh terima Insyirah..."

Insyirah tersentak. Seolah-olah ada besi tajam menusuk dan merobek jantungnya. Seperti yang dia jangkakan, kata-kata itu akan keluar dari mulut tunangnya. Sejak bulan lepas, hubungan dengan tunangnya bagai retak menanti belah. Entah kenapa Uzair berubah, Insyirah tidak pasti.

"Tapi kenape abang? Ape yang Insyirah dah buat...?"

Uzair diam. Pertemuan enam mata petang itu menjadi hening. Cuma diselangi dengan esakan perlahan Insyirah. Noorah menggenggam tangan sahabat baiknya.

"Abang... Sebab ni ke...?" Insyirah menolak sampul besar yang dikeluarkan dari beg kepada Uzair. Uzair yang hampir tawar hati terkejut melihat sampul di hadapannya. Tanpa perlu dibuka, dia sudah tahu isi di dalamnya.

"Mana... Mana Insyirah dapat ni?" Uzair bertanya.

Ingin disimpan semuanya hanya untuk diri sendiri. Biar dia sahaja yang menanggung semuanya. Entah dari mana Insyirah mendapat sampul itu, Uzair sendiri tertanya-tanya.

*****

"Allah, Tuhanku... Seandainya ini ujian yang Kau berikan kepada kami dalam mencari keredhaanMu, berikanlah kami kekuatan dan ketabahan untuk menghadapi semua ini. Ya Allah... Sesungguhnya kami ini hambaMu yang lemah lagi tidak berdaya. Berikan kami petunjukMu dan jadikanlah kami sebagai hambaMu yang redha atas segala ketentuan dariMu... Ameen ya Rabb..."

Air mata diseka perlahan. Insyirah mencapai telefon bimbit. Ada sesuatu yang terdetik di hatinya di penghujung sepertiga malam itu. Nombor telefon didail. Tidak lama dia menunggu, telefon bimbit sebelah sana diangkat.

"Assalamualaikum abang..."

"Wa'alaikumussalam Insyirah."

"Abang dah qiam ye?"

"Aha, baru sudah."

"Alhamdulillah... Abang sihat?"

"Alhamdulillah, abang sihat."

"Alhamdulillah... Abang... Masih ade peluang tak untuk saya menjadi isteri abang?"

Uzair diam.

"Maafkan saya, abang... Andai kata kerana abang bimbang saya akan terbeban dengan sakit abang..."

"Abang ok, Insyirah." Uzair memotong.

"Tak... Saya tahu, abang takut saya akan ditinggalkan kalau abang tiba-tiba pergi dijemput Allah kan?"

Uzair diam lagi.

"Abang... Andai itu yang abang takutkan, saya minta pada abang...buang rasa tu jauh-jauh. Andai ditakdirkan Allah semua tu akan berlaku, saya masih mahu meneruskan pernikahan ni."

"Insyirah..."

"Abang... Saya minta bahagiakanlah saya sebagai seorang suami walau sekejap cuma, kerana saya mahu membahagiakan abang sebagai isteri yang sah walau hanya seketika." Insyirah sudah tidak mampu menahan esak.

"Insyirah..." Uzair terkedu. Hati lelakinya tersentuh. Hanya air mata yang mengalir bisu.

"Abang... Sesungguhnya di sebalik kesulitan itu ada kemudahan... Dan sesungguhnya di sebalik kesulitan itu ada kemudahan..."

Tafsir surah al-Insyirah itu terngiang-ngiang di telinganya.

*****

"Insyirah!"

Suara itu milik Noorah, sahabat baiknya. Insyirah berpaling. Nampak sahaja wajah Noorah, dia melemparkan senyum tawar. Noorah mendekat. Sebaik berada di hadapan Insyirah, mereka berpelukan erat. Di situ juga tangisan mereka pecah.

"Noorah..." Itu sahaja yang mampu Insyirah bisikkan kala mereka masih berpelukan.

"Tabahlah sahabatku... Allah gantikan dia dengan benih yang kian bercambah dalam perutmu." Noorah berusaha menenangkan sahabat baiknya biar air matanya turut sama mengalir deras.

Tiga bulan selepas pernikahan Insyirah dan Uzair, Allah menjemput Uzair kembali. Nyata, kasih sayang Allah terhadap Uzair lebih tinggi dari segalanya di dunia.

Moga Uzair tenang di sana.


P/S: Percubaan menulis cerpen sad ending. Maaf, tak best.

Post a Comment

10 Comments

  1. Allahuakbar...sedih kmk baca kak..huhuh..:'(

    ReplyDelete
  2. ..wlau cuma sketika..sy ingin mnjadi yg sah buat dia..

    ReplyDelete
  3. oh ini lah die sunah.. heheh ;D

    ReplyDelete
  4. walaupun mcm pendek sgt but really sedih la cerita ni..

    ReplyDelete
  5. walau sad ending tapi ada mesej yg tersirat...

    ReplyDelete
  6. huwaaaa sedih... T_T

    x suka klu putuskan sbb sakit.. betol ke blh bahagia ke klu ptus tue? huhuhuhu...

    tp xpe sbb ending diorg kawen jugak.. :)

    ReplyDelete
  7. wah. best... tersentak juga membacanyaa :0

    ReplyDelete
  8. sad
    ada meaning yang tersembunyi

    ReplyDelete
  9. assalamualaikum sunah....sedihnya mmg best...:)

    ReplyDelete
  10. Sunah good job

    ai dapat rase ai insyirh tu

    ai xmmpu nk wt sad ending cm yu

    ReplyDelete

Thank you for coming by. Comments are your responsibility. Any comments are subjected to the Act 588 MCMC 1988. Comment wisely, and do it with pure intentions. Any comment with link(s) will be deleted to avoid spam.

For any inquiries, email: sunahsakura@gmail.com