Ticker

6/recent/ticker-posts

Yang Tidak Pernah Peduli

"Zawir! Zawir!"

Namanya dipanggil dua kali. Zawir yang sedang mengetuai halaqah bersama muslimin yang lain di ruangan terbuka hadapan masjid itu mengangkat wajah. Pengisian jiwa terhenti seketika.

"Assalamualaikum..." ucap lelaki yang memanggil namanya sebentar tadi apabila tiba di hadapan halaqah.

"Wa'alaikumussalam Mijwad. Dari mana ni?" tanya Zawir, mewakili wajah-wajah muslimin lain yang sedang tertanya-tanya.

"Zawir... Aku dari kampung sebelah. Puak Yakee dah mula buat onar!"

"Apa??? Dah sampai kampung sebelah? Cepatnya!" Salah seorang ahli halaqah terkejut. Kata-katanya disambut oleh ahli halaqah yang lain. Hingar seketika ruang hadapan masjid.

"Macam mana boleh begitu cepat?" Dahi Zawir berkerut, namun wajahnya masih nampak tenang.

"Masuj! Masuj khianat!" balas Mijwad ringkas. Seraya kedengaran lafaz istighfar bergema di ruang hadapan surau.

Puak Masuj yang baru berhijrah ke kampung sebelah tiga bulan yang lalu rupa-rupanya ada agenda lain. Atau mungkin juga puak Yakee yang mencucuk jarum tanpa sedar. Selama ini puak Masuj bersungguh-sungguh mahu duduk bersama penduduk kampung sebelah. Beria benar mahu turut membantu membina pusat didikan anak-anak penduduk kampung. Tidak mengharapkan bayaran apa-apa, asalkan dibenarkan tinggal di situ. Pembelot bertopengkan kebaikan. Mungkin itu gelaran paling sesuai.

"Bagaimana keadaan sekarang?" tanya Zawir kepada Mijwad.

"Dah banyak rumah orang kampung musnah dibakar! Ramai dah terbunuh!"

"Mana pemuda?"

"Sebahagiannya sedang menentang, sebahagian lagi sedang bergerak ke sini."

***

Wajah penghulu kampung sebelah direnung lama. Permintaannya sebentar tadi sedang diterjemah di dalam minda. Berita terkini yang diperoleh, pusat didikan anak-anak penduduk yang terletak di hujung kampung telah menjadi kubu puak Yakee dan Masuj.

"Tok mahu saya ketuai operasi tu?"

"Iya, Zawir. Kalau kau mahukan bayaran untuk tu, aku akan usahakan. Asalkan kau bantu kami bina tembok pemisah." Tok Jasir mengharap. Cukuplah dia melihat kemusnahan yang dilakukan oleh dua puak musuh itu. Tidak mahu lagi dia membiarkan penduduk kampungya dibunuh kejam.

"Sesungguhnya ganjaran Allah itu lebih baik dari bayaran yang tok maksudkan. Beginilah, tok kerahkan pemuda untuk kumpulkan segala jenis besi, kita bina tembok tu bersama-sama."

Tok Jasir mengucap syukur. Zawir sedia membantu. Anak sahabat baiknya, arwah Falah, banyak menuruti sifat ayahnya, bekas penghulu kampung juga.

***

Qasim mendengus marah. Kasar sekali rengusannya. Sakit telinganya mendengar laporan dari Hulwan, malah lebih sakit hatinya apabila mendapat tahu Zawir yang dibencinya itu akan datang untuk menentangnya.

"Jahanam, Zawir!!! Siapa yang minta bantuan dia???" Qasim membaling kerusi. Bergegar kelas pusat didikan anak-anak yang kosong.

"Tok Jasir. Dengan beberapa orang pemuda." Hulwan membalas, biar perutnya kecut dengan tindakan ketua puak Yakee itu sebentar tadi.

"Bodoh!!!! Orang tua kutuk!!! Jaga lah kau nanti! Kau ingat aku takut???" Gertakan Qasim itu hanya kedengaran antara dia dan Hulwan.

"Tapi Qasim... Aku tengok tadi, tembok da tinggi..."

"Tembok???"

***

Sebahagian pemuda mengumpul kayu-kayu api, disusun elok sepanjang kaki tembok. Tembok dari longgokan besi-besi terbuang. Sebahagian lagi masih berusaha menambah ketinggian tembok. Semakin lama semakin tinggi. Hampir menyamai ketinggian dua puncak gunung yang menjadi kayu ukur.

"Zawir bangsat!!!"

Tiba-tiba sahaja kedengaran suara garau dari sebelah sana longgokan besi. Zawir yang sedang menyusun kayu api menoleh.

'Qasim...kau rupanya...' Ayat itu hanya disuarakan dalam hati apabila ternampak kelibat Qasim di sebalik longgokan besi.

"Akan aku robohkan semua ni!!!" Qasim mengugut. Di belakangnya para pengikutnya menyusul ketua mereka beramai-ramai. Semakin lama semakin hampir.

"Dengan nama Allah, bakar kayu api..." arah Zawir kepada para pemuda. Mereka menurut perintah.

"Hahaha! Kau nak bakar besi-besi ni, Zawir??? Bodoh! Mana mungkin!" Qasim mengejek. Sengaja dinyaringkan suaranya, biar para pengikutnya tidak lemah semangat.

"Dengan kehendak Allah, segalanya mungkin..." Zawir menjawab tenang.

"Allah, Allah, Allah! Itu saja yang kau sebut dari dulu!" Qasim tidak puas.

Zawir beristighfar. Sempat dia berbisik sesuatu kepada salah seorang pemuda. Pemuda itu mengangguk kemudian beredar. Qasim tercuit dengan perlakuan itu. Terlalu sibuk hendak menyerang mental musuhnya sejak kecil, hingga tidak sedar longgokan besi sudah membara kemerahan.

"Apa sajalah yang kau harapkan dengan Tuhan kau! Tengok sekeliling kau, aku dah musnahkan kampung ni sampai lumat! Mana Tuhan kau???" Qasim terkekek-kekek ketawa. Kemudian dia berhenti. Isyarat diberikan kepada para pengikutnya supaya bergerak ke depan, meruntuhkan longgokan besi.

"Tapi tuan..." ada di kalangan pengikutnya yang mula gundah.

"Pergi aku kata!!!" Sergahan Qasim segera dituruti. Mereka berlari ke arah longgokan besi yang membara. Namun tidak sampai beberapa meter, ramai yang rebah kepanasan. Keyakinan Qasim terganggu sedikit.

"Qasim... Bantuan Allah itu selalu dekat..." Zawir masih tenang menyampaikan pesan Rasulullah s.a.w. Ketika itu, dia sedang berdiri di sebelah alat besar dan pelik yang tidak pernah Qasim lihat selama ini.

"Arghhhh! Persetankan semua tu!!! Cepat robohkan tembok ni!" Qasim terus mengarah para pengikutnya. Mereka terpaksa menurut, takut mati dibunuh Qasim.

Dan ketika para pengikutnya semakin mendekat pada tembok besi, ketika itu jugalah cairan tembaga panas mencurah dari atas longgokan besi. Ada yang memercik dan membakar sebahagian puak Yakee dan Masuj. Mereka meraung-raung kesakitan.

Qasim tercengang-cengang.

"Apa yang..." soalannya terhenti di situ.

"Qasim yang tidak pernah percaya, itu beza kau dan aku! Janji Allah itu sentiasa benar, namun untuk orang-orang seperti kau, Qasim...yang membutakan mata dan memekakkan telinga atas segala firmanNya, hari ini membuktikan janji Allah itu haq! Allahuakbar!" Takbir Zawir disahut para pemuda muslimin.

Qasim terduduk.

Terduduk kerana dia sedar dia antara yang tewas. Terduduk kerana dia rasa seperti pernah berada dalam ketewasannya sekarang. Terduduk kerana dia tahu kata-kata Zawir itu benar.

Terduduk kerana dia pernah membaca semua itu dalam kitab akhir zaman.

Namun, dia tidak pernah peduli.

-------------------------------------

Mereka berkata: "Hai Zulkarnain, sesungguhnya Yakjuj dan Makjuj itu orang-orang yang membuat kerosakan di muka bumi, maka dapatkah kami memberikan sesuatu pembayaran kepadamu, supaya kamu membuat dinding antara kami dan mereka?"

Zulkarnain berkata: "Apa yang telah dikuasakan oleh Tuhanku kepadaku terhadapnya adalah lebih baik, maka tolonglah aku dengan kekuatan (manusia dan alat-alat), agar aku membuatkan dinding antara kamu dan mereka,

berilah aku potongan-potongan besi!" Hingga apabila besi itu telah sama rata dengan kedua (puncak) gunung itu, berkatalah Zulkarnain: "Tiuplah (api itu)". Hingga apabila besi itu sudah menjadi (merah seperti) api, dia pun berkata: "Berilah aku tembaga (yang mendidih) agar kutuangkan ke atas besi panas itu".

Maka mereka tidak bisa mendakinya dan mereka tidak bisa (pula) melubanginya.

Zulkarnain berkata: "Ini (dinding) adalah rahmat dari Tuhanku, maka apabila sudah datang janji Tuhanku, Dia akan menjadikannya hancur luluh; dan janji Tuhanku itu adalah benar".

Kami biarkan mereka di hari itu bercampur aduk antara satu dengan yang lain, kemudian ditiup lagi sangkakala, lalu Kami kumpulkan mereka itu semuanya.

[al-Kahfi: 94-99]



P/S: Maafkan saya, cuba mengisahkan ayat Allah dalam bentuk cerita, namun saya tahu saya tidak mampu menggambarkan masa depan itu dengan kata-kata yang mudah.

Post a Comment

3 Comments

Thank you for coming by. Comments are your responsibility. Any comments are subjected to the Act 588 MCMC 1988. Comment wisely, and do it with pure intentions. Any comment with link(s) will be deleted to avoid spam.

For any inquiries, email: sunahsakura@gmail.com