Ticker

6/recent/ticker-posts

Remaja Mulia: Misi al-Fateh?


 Ada seorang cikgu tadika yang tak percaya wujudnya Tuhan. Dia pun berfikir bagaimana hendak mempengaruhi kanak-kanak di tadika tersebut supaya tak percaya wujudnya Tuhan. Tiba-tiba, dia mendapat satu akal...

Guru tadika : Anak-anak, nampak tak pen ini?
Murid-murid : Nampak cikgu.
Guru tadika : Pen ada kan?
Murid-murid : Ada cikgu.

Kemudian guru tadika tadi memasukkan pen itu ke dalam poketnya dan kemudian bertanya lagi..

Guru tadika : Anak-anak, nampak tak pen?
Murid-murid : Tak nampak cikgu.
Guru tadika : Pen ada tak?
Murid-murid : Tak ada cikgu.
Guru tadika : Anak-anak nampak Tuhan tak?
Murid-murid : Tak nampak cikgu.
Guru tadika : Tuhan ada tak?
Murid-murid : Tak ada cikgu.

Guru tadika itu sangat gembira kerana tujuannya untuk mempengaruhi kanak-kanak itu berjaya. Tetapi, dalam kumpulan kanak-kanak itu ada seorang budak pintar yang bernama Amin lalu dia pun mengangkat tangan...

Amin : Cikgu, boleh saya cakap sesuatu?
Guru tadika : Boleh, mari ke depan.
Amin : Kawan-kawan nampak cikgu tak?
Murid-murid : Nampak.
Amin : Cikgu ada kan?
Murid-murid : Ada.
Amin : Kawan-kawan nampak otak cikgu tak?
Murid-murid : Tak nampak.
Amin: Cikgu ada otak tak?
Murid-murid : Tak ada.

Adoi...membaca kandungan email ini yang diforwardkan oleh seorang sahabat melalui yahoogroups sebentar tadi mengingatkan ana kepada Irfan Hakimi di dalam Remaja Mulia. Sebuah novel dalam kategori awal remaja terbitan PTS karya Hilal Asyraf. Walaupun sasaran Hilal bagi novel ini adalah untuk pelajar sekolah sekitar umur 12 tahun ke atas, tetapi Remaja Mulia sesuai juga dibaca untuk pelbagai peringkat umur jika mahu mengambil manfaatnya.


Membaca Remaja Mulia mulanya secara online di Langit Ilahi suatu ketika dulu, hati tertarik untuk membaca lebih lanjut dan mengetahui akhir kisahnya. Hinggalah Hilal mengumumkan di SINI, bahawa Remaja Mulia sedang dalam urusan percetakan dan akan dipasarkan, ana menunggu keluarannya. Sabar menunggu, bukannya tiada di pasaran, tetapi sukar untuk ana temui di MPH, BADAN atau mana-mana kedai buku sekitar Skudai dan Johor Bahru ini. Akhirnya ana mencari Remaja Mulia di alam maya, alhamdulillah...terjumpa juga di Kedai-Buku.com bersama-sama Cogito Allah Sum.

Ana mengagumi Irfan Hakimi di dalam novel itu, pelajar yang baru hendak menduduki UPSR, tetapi sudah melalui begitu banyak ujian dalam hidupnya. Namun, hasil didikan seorang ayah yang mengutamakan pendidikan agama, alhamdulillah Irfan Hakimi membesar jiwanya lebih cepat dari umurnya. Kata-katanya berinti hikmah, menyerlahkan kematangannya di antara sahabat-sahabat seusia. Pada satu saat Irfan Hakimi dilontarkan ujian hebat oleh Allah, tetapi jiwa yang sentiasa meletakkan pergantungan kepada Allah itu tidak gentar den rebah dengan tohmahan makhluk yang baru sedikit jika dibandingkan dengan ujian Allah kepada utusan-utusanNya.

Irfan Hakimi, sekecil-kecil cili padi, mampu memberi hujah yang baik apabila diduga oleh pihak-pihak yang berkeinginan untuk merosakkan fikiran anak-anak muda Islam yang masih bergoyang tiang imannya. Biarpun sebenarnya Irfan Hakimi hanyalah satu watak di dalam sebuah novel ciptaan manusia bernama Hilal Asyraf, tetapi produk ini menunjukkan betapa didikan awal untuk anak-anak itu sangat penting bagi mencorakkan mereka supaya kelak mereka boleh mempertahankan agama ini setelah ibu dan ayah pergi meninggalkan dunia.

Tambahan pula, anak-anak muda zaman ini dihidangkan dengan pelbagai godaan dan ujian yang lebih dahsyat berbanding dahulu, menambahkan kerisauan di hati bakal-bakal ibu dan ayah akan apakah yang akan dihadapi dalam proses pembesaran anak-anak kelak. Mampukah seorang ibu dan seorang ayah yang 'mantap' tarbiyyahnya dek 'didikan' dalam perjuangan membentuk anak-anak yang kelak tidak kurang hebat tarbiyyahnya? Tarbiyatul aulad...satu lagi karya emas yang perlu dihadam~


Post a Comment

0 Comments