Ticker

6/recent/ticker-posts

Sakura Dalam Taman Larangan

jadilah sakura dalam taman larangan...memekar indah tetapi tertutup keindahannya...(somebody, 2010)
Kuntuman sakura meliang-liuk ditiup angin sepoi-sepoi bahasa. Beberapa ekor lebah kelihatan berterbangan memilih-milih sakura comel yang diyakini ada sekelumit madu. Tidak kurang juga kumbang-kumbang yang merayap di atas dedaun halus pohon sakura, bila-bila masa sahaja dedaun itu bakal bercorak-corak - berubah terus dari keindahan azali - karya seni yang sering ditinggalkan sang kumbang. Sakura tidak mampu menegah kumbang-kumbang yang banyak itu mengukir abstrak kehidupan pada dedaunannya, hanya mampu meliang-liuk mengelak sipi-sipi sahaja.

Cahaya matahari pagi itu agak redup. Burung-burung berkicauan dalam taman larangan, menikmati keindahan alam sambil menengadah telinga mendengar kocakan air kolam. Burung-burung yang menumpang bertenggek di atas dahan pohon-pohon sakura itu juga hanya menjeling melihat kumbang-kumbang yang mahu berkarya. Tidak tega burung-burung itu mahu menegur. Bimbang kalau-kalau sang kumbang mengamuk menggigit sayap, padahal sayap burung-burung itu bukan kegemaran sang kumbang sebetulnya.

Sakura menahan pilu. Apa guna indahnya ia dilihat, tetapi lebah-lebah dan burung-burung, semuanya tidak berganjak mahu melawan sang kumbang. Semua mahu tetap selesa dalam zon masing-masing. Sudah merasa puas dengan manisnya madu dan kukuhnya dahan tempat bertenggek. Tidak peduli pada sakura yang sudah hampir robek daun-daunnya.

Sakura mahu merintih, tetapi mungkin tiada siapa yang mahu mendengar dalam taman larangan itu. Berbeza sekali jika sakura duduk di luar taman larangan dulu, biarlah hidup di jalanan, tetapi ada yang mahu menepis kumbang-kumbang jahat pada dedaunnya. Sakura rasa mahu meraung, tetapi mungkin tiada...--

sedangkan beburung pun suka pada keindahan sakura...
Angin sepoi-sepoi bahasa tadi seakan-akan berhenti. Burung-burung berhenti berkicau. Lebah-lebah yang ligat tadi mula terbang rendah dan perlahan. Hanya kumbang-kumbang yang masih di tempat mereka. Suasana hening itu menyebabkan bunyi kocakan air kolam bertambah jelas kedengaran. Di sebalik seloka air yang berkocak, bunyi derap ranting dipijak kedengaran memasuki taman larangan. Sakura tertanya-tanya, bahkan juga yang lain-lain dalam taman larangan itu, akan siapakah gerangannya yang masuk ke dalam taman larangan setelah sekian lama taman itu sepi tidak dikunjungi sesiapa.

"Indahnya..." suara manusia kedengaran. Di sebalik dedaunan pohonnya, sakura nampak sesusuk tubuh pemuda. Pandangan sakura juga menangkap sebilah pedang panjang bersarung tersisip rapi pada pinggang pemuda itu. Pemuda itu semakin hampir. Burung-burung lari berterbangan apabila pemuda itu menapak mendekati satu-satunya pohon sakura dalam taman itu. Lebah-lebah acuh tak acuh, sekejap pergi, seketika kemudian datang semula - tidak puas hati kerana ada yang mahu mengganggu mengecap manisnya madu.

"among flowers, sakura...among men, samurai..." (pepatah kuno Jepun)
Pemuda itu mendongak merenung kuntuman-kuntuman sakura yang mekar indah. Banyaknya tidak terbilang biarpun pohonnya hanya satu di dalam taman larangan itu. Sungguh indah. Tidak seperti sakura-sakura yang dijumpainya di luar taman ini...tetapi...mata si pemuda tertangkap sesuatu. Sejurus itu juga pedang berbilah terbalik disentap - susshhh!

"Nyah kau dari sini!" Kumbang-kumbang terjelepok. Tidak semena-mena kini semuanya sudah berada di atas tanah. Kumbang-kumbang mahu mendongak melihat siapa yang membuat onar, tetapi tidak mampu, kerana kumbang-kumbang sudah terbalik di atas belakang sendiri. Kumbang-kumbang mahu naik semula mencapai dedaun enak, tetapi dibatalkan hajat kerana bimbang nanti akan diusir semula, buat menambah penat memanjat sahaja walaupun nyatanya kumbang boleh terbang. Akhirnya setelah berjaya mendapatkan posisi dan postur tubuh yang betul, kumbang segera meninggalkan taman larangan itu, mahu mencari taman larangan yang lain pula.

"Sakura ungu, teruslah memekar..." Pemuda berpedang panjang menzahirkan senyuman. Angin menyapa merdu, dedaunan menari semula setelah lama kaku di bawah cengkaman kuku besi kumbang-kumbang. Sakura gembira, hati sakura memekar semekar kelopaknya. Kini sakura percaya, ada samurai yang akan menjaganya...insya'ALLAH.

sakura ungu akan terus memekar...tidak akan pernah lelah menanti...

--bersambung...

***cerita ini cerita rekaan, tiada kaitan antara yang hidup atau yang mati...

Next Episode: Samurai Setia vs Pemuda a.k.a Samurai Baru

Post a Comment

16 Comments

  1. sebuah coretan cerpen yg menarik yg ada makna tersurat n tersirat bg yg mengerti dan faham..penantian sambungan~

    ReplyDelete
  2. aik? bukankah kumbang yang menolong sakura berbunga?..tp xpa. cerita belum abes

    ReplyDelete
  3. salliana> :)

    lagenda pejuang Islam> sepengetahuan ana kumbang merosakkan bunga, lebah yang membantu dalam proses pendebungaan...betulkan kalau tersilap. and kalau silap, kumbang dalam cerita ni 'berlakon' sebagai perosak...

    ReplyDelete
  4. x pasti pulak pasal botanikal ni. xpa..habiskan cerita dulu

    ReplyDelete
  5. salam,kak...baruk baca...best jalan critanya..penuh dgn metafora(betul kah perkataan tok?)..trasa nak mcm kt jepun...thumbs up

    ReplyDelete
  6. @Aisyah Ashiqin

    salam syikin~ :) metafora..kak pun sik pasti..hehe

    ReplyDelete
  7. ungu favourite colour,kak...sbb ktk lah kmk suka ngan bunga sakura, t'utama yg ungulah "^_^...rupanya ada crita disebaliknya...dlok masa kcik kmk suka baca kisah2 rakyat..dr jepun pun ada...p tok first tyme tauk pasal kisah sakura n samurai tok...

    ReplyDelete
  8. @Aisyah Ashiqin

    deng, pepatah kuno Jepun ya nang mena..tapi kisah sakura dan samurai tok kakak polah kedirik dengan bantuan idea dari sahabat...:)

    ReplyDelete
  9. SUNAH....TAK SANGKA LAK AKAK APA YG KITA BORAK KAT PM BOX ADA KAITAN NGAN ENTRY SUNAH NIE..MMG BETUL LA KITA NIE MADU...

    ReplyDelete
  10. BIAR LA YG DATANG ITU LEBAH..KERANA LEBAH AKAN MENINGGALKAN MANIS NYA..BIARPUN IA BERBISA TETAPI IA LA PENAWAR..JIKA YG DATANG ITU RAMA2 KUPU...DATANG KEJAP AJE..KALAU KUMBANG YANG DATANG IA AKAN MEROSAKKAN BUNGA DAN DEDAUN..

    ReplyDelete
  11. haha sampai robek daun daun die..haahahhahahahahah

    ReplyDelete

Thank you for coming by. Comments are your responsibility. Any comments are subjected to the Act 588 MCMC 1988. Comment wisely, and do it with pure intentions. Any comment with link(s) will be deleted to avoid spam.

For any inquiries, email: sunahsakura@gmail.com