Memetik definisi daripada buku merah jambu setebal 106 muka surat ini, 'berpaksi inovasi' bermaksud menjadikan budaya inovasi sebagai teras perkembangan universiti selari dengan konsep budaya ilmu yang menggalakkan pembaharuan, kreativiti dan dinamisme. 'Mengangkasa' adalah frasa meletakkan sesuatu pada kedudukan yang tinggi, nun jauh di angkasa, sebagaimana angkasawan melepasi ruang atmosfera. Frasa 'mengangkasa universiti' bermaksud mengangkat UTM ke martabat tinggi supaya kedudukan dan kepentingannya dapat dihargai dan dihayati semua pihak, bukan hanya mahasiswa dan komuniti akademik, malah seluruh lapisan masyarakat. 'Menjana nilai tinggi' pula merujuk kepada pengkayaan dan penyuburan idealisme, minda dan kemahiran untuk membolehkan kita membina kemajuan dengan memberi nilai tambah menerusi proses inovasi kepada sesuatu konsep, gagasan, perkhidmatan atau produk yang memberi manfaat kepada masyarakat atau khalayak pengguna. (m/s 2-3)
Buku ini menghuraikan tahap pencapaian UTM pada tahun 2009 berdasarkan Key Performance Index (KPI) yang telah digariskan oleh Dato' seperti dalam Jadual 1.
Dari segi inovasi, UTM merupakan penjana utama harta intelek negara dengan jumlah keseluruhan jenis Indeks Persepsi (IP) bagi sepanjang tahun 1990 hingga 2009 sebanyak 1561 (Jadual 2, m/s 8). Bilangan mahasiswa pascasiswazah di UTM adalah paling tinggi di Malaysia dalam bidang teknologi dan kejuruteraan dengan peratusan 43.35% daripada keseluruhan IPTA tempatan (Jadual 3, m/s 9). Paling menarik dalam BSC 2009, pengurusan kewangan secara lebih terancang telah ditetapkan untuk memastikan keefisienan organisasi. Buat pertama kalinya dalam BSC 2009, sasaran kos operasi sebanyak RM17,000 bagi seorang mahasiswa ditetapkan, namun yang dicapai masih jauh daripada sasaran, iaitu RM21,671. Dato' amat menekankan mengenai pengurusan kewangan ini dan berpesan agar tidak terlalu banyak program yang kurang bermanfaat seperti jamuan makan yang berlebihan diadakan bagi mengelakkan pembaziran.
Bagi memacu kecemerlangan UTM untuk sesi ini, sikap positif perlu menjadi pegangan setiap warga UTM. Antara 5 sikap positif yang disebut oleh Dato' di dalam bukunya ialah:
- Berani berubah untuk tidak rebah
- Budaya kerja kelas pertama
- Sistem penyampaian terbaik
- Semangat pengorbanan
- Budaya kerja berpasukan
Jadual 8 Pelan Tindakan Strategik untuk Ranking UTM 2010
Dari segi penjenamaan pula, selain menggunakan tagline "Menjana Minda Kreatif dan Inovatif", pihak pengurusan juga sedang mengkaji penamaan "UTM Kampus Skudai" berikutan kesukaran untuk menunjukkan lokasi Skudai dalam peta dunia kepada kenalan UTM. Dato' secara peribadi berpendapat, kampus induk UTM perlu dijenamakan semula sebagai "UTM Johor Bahru." Kajian yang akan diketuai oleh Pengarah Hal Ehwal Korporat dan Komunikasi, Prof. Dr. Azlan Abdul Rahman, tentang penjenamaan semula kampus induk dijangka siap untuk diumumkan sebelum Mac 2010.
Konsep Inovasi Seluruh Dimensi turut dilaksanakan dalam setiap aspek kegiatan kampus, termasuklah tujuh bidang tugas utama, iaitu pengajaran dan pembelajaran, pengurusan dan pentadbiran, penyelidikan dan pembangunan, penulisan dan penerbitan, perunding dan khidmat profesional, pembangunan staf dan mahasiswa serta tanggungjawab sosial universiti. Semua warga UTM perlu berganding bahu untuk mengupayakan inovasi dalam pengurusan agar pencapaian organisasi melayakkan UTM menjadi Universiti Penyelidikan Inovatif terulung. Inisiatif khas dari segi kerjasama dengan universiti luar negara turut dirancang untuk dilaksanakan pada tahun 2010 bagi memastikan UTM mempunyai competitive edge (Jadual 12, m/s 82-83).
*Buku ini dikupas oleh Dato' dalam Perutusan Tahun Baru Naib Canselor 2010 semasa Perjumpaan Bulanan bersama Naib Canselor UTM pada 11 Januari 2010 di Dewan Sultan Iskandar UTM. Buku dalam bentuk pdf boleh didapati di sini.
0 Comments
Thank you for coming by. Comments are your responsibility. Any comments are subjected to the Act 588 MCMC 1988. Comment wisely, and do it with pure intentions. Any comment with link(s) will be deleted to avoid spam.
For any inquiries, email: sunahsakura@gmail.com