Ticker

6/recent/ticker-posts

Hati Yang Berbunga-bunga

Salam mahasiswa. Coretan kali ini tidak lain tidak bukan adalah untuk berkongsi perasaan berbunga apabila membaca berita-berita terkini di dada akhbar. Jarang-jarang sekali hati ini menguntum senyum apabila membaca berita-berita yang dipaparkan oleh media, sangat mantaplah isi berita yang menyebabkan diri ini tersengih sendiri.

Alain Robert - salah seorang manusia ciptaan ALLAH yang sangat berpegang kepada matlamat yang ingin dicapai dengan mengambil kira segala risiko yang bakal dihadapi. Itu apa yang ana lihat pada dirinya. Siapa dia Alain Robert? Bagi yang mengikuti perkembangan negara pasti mengenali Spiderman Perancis ini. Robert digelar Spiderman Perancis kerana hobinya adalah memanjat bangunan pencakar langit di setiap negara yang dikunjunginya. Baru-baru ini, Malaysia agak kecoh dengan tindakan Robert menawan puncak Menara Berkembar Petronas yang setinggi 452 meter.

Kenapa ana tersengih sendiri apabila membaca berita ini? Kerana tidak ramai orang sepertinya, yang sanggup mengambil risiko dituduh melanggar peraturan untuk mencapai matlamat. Ana percaya Robert sudah maklum bahawa dirinya bakal ditangkap kerana sebelum ini pun dia pernah dihalang untuk memanjat bangunan yang sama sebanyak dua kali. Namun, dia didapati tidak membawa bahaya kepada negara kerana masuk sebagi pelancong tanpa menggugat keselamatan negara lau dibebaskan dengan denda RM 2,000. Robert nyata tidak kisah ditangkap malah dikenakan bayaran, asalkan impiannya selama 12 tahun lalu itu tercapai walaupun tidak tidur lena di dalam lokap semalaman. Berapa ramai lagi yang sepertinya? Kalau Robert yang melakukannya hanya kerana keseronokan semata-mata sudah mampu menguntum senyum di hati, mungkin kemunculan yang lain akan lebih memekarkan kuntuman bunga di hati ini kalau dilakukan untuk matlamat yang lebih baik di jalanNYA.

Isu kedua yang menyebabkan ana tersenyum adalah isu kepala lembu. Mungkin tidak perlu dibincangkan lagi kerana sudah nyata lagi bersuluh isu itu hampir selesai dengan tindakan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mencabar mana-mana pihak mencari tapak kuil yang baru untuk menggantikan tapak kuil asal di Seksyen 23, Shah Alam. Cumanya, ana kebingungan kerana satu pihak mengatakan tindakan itu menghina agama Hindu, manakala satu pihak lagi mengatakan tindakan tersebut bukan bertujuan untuk menghina mana-mana agama kerana lembu bukan lambang Tuhan mana-mana agama, tetapi sebagai tanda protes kepada kerajaan semata-mata. Hurm, mana satu yang dipegang? Pembaca yang ingin tahu lebih lanjut mengenainya bolehlah mencari artikel ini melalui mana-mana media secara online. Contohnya:

Kepala lembu protes terhadap kerajaan negeri
Kementerian pandang serius isu jejas keharmonian

Isu ketiga adalah mengenai Konsert Jelajah MLTR yang bakal diadakan (atau bakal dibatalkan) pada 5 September 2009, iaitu Sabtu ini. Mungkin pihak penganjur terlepas pandang bahawa sekarang ini bulan Ramadhan dan Malaysia adalah negara Islam mengikut perlembagaan. 24 Ogos 2009, Dewan Pemuda PAS telah menggesa kerajaan untuk membatalkan konsert tersebut kerana dilihat menghina umat Islam di bulan Ramadahan. Baru-baru ini, Datuk Jamil Khir Baharom pula menggesa pihak penganjur untuk mengambil kira sensitiviti umat Islam sebelum membuat keputusan untuk meneruskan konsert itu yang dicadangkan untuk diadakan di Genting Highlands Sabtu ini. Jika Menteri di Jabatan Perdana Menteri pun telah bersuara, adakah pihak penganjur masih berdegil mahu meneruskan konsert? Bagaimana agaknya tindakan kerajaan jika perkara ini berlaku dan kesannya selepas ini kepada pihak MLTR?

Wallahu'alam.

Teruskan 'mencaknakan' diri anda dengan isu semasa~

Selamat menjawab Test 1 Engineering Economics kepada sahabat-sahabat yang mengambil mata pelajaran ini pada semester ini.

Post a Comment

0 Comments