Ticker

6/recent/ticker-posts

Iktiraf Pandangan Mahasiswa

PULAU PINANG 4 Jun - Pandangan mahasiswa secara individu harus diambil kira sebagai langkah untuk memperkasakan sesebuah universiti termasuk membentuk perancangan, keputusan dan dasarnya.

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, langkah itu wajar dijadikan alternatif ke arah membentuk satu kehidupan yang lebih baik dan bermanfaat di universiti.

Beliau berkata, setiap pandangan yang disalurkan melalui medium dan pelbagai sumber seperti surat, Internet, e-mel, laman web sosial seperti Facebook dan juga melalui Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dan persatuan di peringkat universiti adalah baik.

"Konsep rakan kepemimpinan antara mahasiswa dan pentadbiran universiti perlu dipopularkan di universiti tempatan dengan mengiktiraf semua pendapat tidak kira daripada MPP atau pun individu.

"Melalui konsep itu, semua pihak dapat bekerjasama dalam membuat satu keputusan terbaik dalam merancang aktiviti universiti dan mahasiswa.

"Ia secara tidak langsung dapat memberi manfaat kepada kedua-dua pihak," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Program Mentor di Pusat NADI, Universiti Sains Malaysia (USM) di sini hari ini.

Program mentor ialah program sokong bantu yang mana seorang kakitangan berpengalaman menjadi perunding dan pembimbing kepada kakitangan universiti, ahli keluarga mereka dan kalangan pelajar yang memerlukan bantuan psiko sosial.

Beliau berkata, sumbangan yang dimainkan oleh suara mahasiswa juga menjadi matlamat utama mengapa Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) dipinda.

Sumber: Utusan Malaysia

Post a Comment

0 Comments