Ticker

6/recent/ticker-posts

Ditembak Dalam Masjid

SUNGAI GOLOK (Selatan Thai) 9 Jun – Kejam dan tidak berperikemanusiaan! Mungkin itu yang dapat digambarkan tentang pembunuhan 11 jemaah ketika solat isyak di Masjid Al-Furqan di Kampung Air Tempayan, 50 kilometer dari bandar ini kira-kira pukul 8.50 malam tadi (waktu Malaysia).

Setelah melepaskan tembakan dari dua pintu masuk masjid, enam penyerang itu dikatakan masih tidak berpuas hati dan masuk ke dalam masjid sebelum melepaskan beberapa das lagi tembakan bagi memastikan jemaah terbabit benar-benar mati.

Tragedi terbaru yang menjadikan masjid sebagai sasaran, berlaku pada hari yang sama Perdana Menteri Thailand, Abhisit Vejjajiva melawat Malaysia dan memperbaharui komitmen untuk mengakhiri konflik yang berlarutan sejak 2004 di wilayah bergolak itu.

Kejadian itu menambahkan jumlah korban yang kini mencecah lebih 3,700 orang dan masyarakat Islam di wilayah itu bimbang kejadian lebih buruk akan menyusul semula dan ramai yang percaya kejadian terbaru didalangi pihak berkuasa.

Bagaimanapun sehingga kini masih belum dapat dipastikan motif sebenar pembunuhan kejam itu tetapi ada yang berpendapat berpunca daripada dendam dan pihak tentera Thai menafikan sebarang pembabitan anggota mereka.

Seorang saksi, Hassan Deraman, 17, berkata, kejadian berlaku amat pantas kira-kira lima minit di mana empat lelaki dikatakan menyerbu masuk ke dalam masjid dari arah pintu belakang manakala dua lagi dari arah tepi.

Katanya, kesemua mereka bersenjatakan rifel M-16 dan pump gun serta memakai seragam hitam serta bertopeng.

"Ketika kejadian berlaku saya bersama tiga lagi rakan berada dalam wakaf kira-kira 15 meter dari pintu masuk utama masjid ini, Tiba-tiba kami mendengar bunyi tembakan yang kuat bertalu-talu.

"Kami bersembunyi dan bergerak ke tempat kejadian dengan perlahan-lahan dalam gelap untuk melihat apa yang berlaku dengan lebih jelas.

"Saya kemudian melihat mereka memasuki masjid ini dan melepaskan tembakan ke arah kepala serta badan jemaah yang terbaring dalam ruang solat, tembakan itu dilepaskan bagi memastikan kesemua jemaah ini benar-benar mati," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di tempat kejadian.

Hassan berkata, penyerang dipercayai memasuki kawasan masjid melalui hutan dan kawasan ladang getah di bahagian belakang bagi memastikan kehadiran mereka tidak disedari.

Katanya, pembunuh kejam itu tidak memasuki masjid melalui pintu utama kerana ia diterangi dengan cahaya lampu.

"Selepas bunyi tembakan hilang, beberapa orang kampung datang dan saya bersama mereka memasuki masjid melihat mayat bergelimpangan dipenuhi dengan darah.

"Ketika itu, hanya dua jemaah terselamat tanpa sebarang kesan tembakan. Salah seorang daripada mereka adalah 'tok siak' masjid, bagaimanapun akibat terkejut dengan serangan tersebut dia pengsan kerana serangan jantung.

"Seorang lagi yang terselamat adalah ahli kumpulan 'tabligh' yang datang berdakwah di sini, dia terselamat kerana ketika itu sedang sujud dan setelah mendengar bunyi tembakan dia meniarap dan berpura-pura mati," katanya.

Serangan tersebut turut menyebabkan imam masjid, Wan Nasir Wan Abdullah, 62, terkorban manakala 12 parah dan dua terselamat.

Kesemua jenazah dikebumikan dalam satu liang lahad kira-kira pukul 11 pagi ini dan tinjauan Utusan Malaysia mendapati perkarangan masjid itu dipenuhi oleh kaum masyarakat Melayu Islam dari tiga daerah yang bergolak itu.

Malah ketika itu, ruang solat masjid berkenaan masih dipenuhi darah dan ia dibersihkan sepenuhnya oleh anggota tentera kira-kira pukul 5 petang ini.

Tinjauan juga mendapati dinding dalam masjid tersebut turut dipenuhi kesan tembakan dan kawalan keselamatan di kampung berkenaan ditingkatkan.

Sumber: Utusan Malaysia

P/S: Salam. Melihat kejadian ini membuatkan ana terkenang kisah jemaah di Masjid al-Aqsa. Peristiwa jemaah yang sedang solat di dalam masjid ditembak mati oleh Zionis berulang di Selatan Thai, tetapi di sini bukan Zionis Israel yang melakukannya. Penduduk tempatan diserang oleh penduduk tempatan juga. Apa lagi yang bakal berlaku selepas ini? Wallahu'alam.

Post a Comment

2 Comments

  1. penduduk tempatan yang menembak yang sunnah maksudkan tu juge mamakai labang dan bendera yang sama dengan zionis. itu tali barut namanya...

    Masakan orang Islam yang ada Aqidah membunuh sesama mereka dengan tidak berperikemanusiaan, lagi2 di dalam masjid?

    Kite telah diserang sekali lagi, ayuh bangkit dengan pena2 siber. Luaskan dakwah, dekati mad'u, sampaikan mesej Islam. Allahuakbar!

    ReplyDelete
  2. > Nurul 'Uyun Binti Ahmad

    salam. dunia sudah hampir kiamat.. al-Aqsa juga bakal dibebaskan..kota Madinah bakal runtuh, Palestin akan dikembalikan..di mana kita?

    teruskan perjuangan...ALLAHUAKBAR!!!

    ReplyDelete

Thank you for coming by. Comments are your responsibility. Any comments are subjected to the Act 588 MCMC 1988. Comment wisely, and do it with pure intentions. Any comment with link(s) will be deleted to avoid spam.

For any inquiries, email: sunahsakura@gmail.com