Ticker

6/recent/ticker-posts

Mahasiswa, Akhlak dan Kepentingannya

“Berikan aku 10 pemuda yang benar tegar fisikal dan mindanya, akan kugegarkan dunia dengan pemuda-pemuda ini”. Kata-kata keramat bekas Presiden Indonesia, Pak Soekarno, yang sering diucapkan oleh sahabat pimpinan mahasiswa suatu ketika dulu terngiang-ngiang di telinga saya tatkala jari-jemari ini mula menekan papan kekunci komputer. Kata-kata yang menjadi refleksi kepada keteguhan jiwa anak muda ini merupakan antara pemangkin tindakan mahasiswa dewasa ini.

Mahasiswa merupakan golongan intelek yang tidak boleh tidak, memang akan berhadapan dengan masyarakat tidak kira sama ada semasa masih menuntut di universiti mahupun setelah keluar ke alam kerjaya nanti. Demi mendepani masyarakat, mahasiswa seharusnya mempunyai identiti tersendiri yang membolehkan masyarakat meletakkan kepercayaan yang tinggi kepada mereka sebagai pewaris kepimpinan negara.

Rasulullah S.A.W sendiri didampingi oleh golongan syabab dalam menelusuri perjuangan dan mereka merupakan golongan intelligent yang berhati bersih dan berakhlak mulia. Bagaimana pula dengan mahasiswa yang bakal mendampingi pemimpin-pemimpin di kalangan masyarakat di luar kelak? Malah, di dalam kampus sendiri, akhlak mahasiswa sering menjadi buah mulut sesama mahasiswa sendiri dan juga pihak pentadbiran. Akhlak mahasiswa yang saya lihat kini sudah kurang selari dengan peningkatan ilmu pengetahuan. Nilai adab dan tatasusila kian meruncing di kalangan mahasiswa terhadap lapisan masyarakat seperti pensyarah, ibubapa dan sahabat handai. Pengaruh hedonisme memburukkan lagi proses pembentukan nilai berasaskan budaya ketimuran dan akhlak Islamiyyah. Hedonisme nyata membawa pelbagai impak negatif kepada minda dan perilaku mahasiswa yang bakal berdiri seiring dengan pemimpin negara suatu hari nanti.

Saya khuatir sekiranya tiada langkah yang diambil untuk ‘re-engineering’ imej mahasiswa bermula dari sekarang, graduan yang bakal keluar nanti akan terlibat dengan pelbagai masalah etika yang lain ketika berkecimpung di alam kerjaya kelak. Sebagai contoh, isu rasuah yang sememangnya sudah begitu hangat diperkatakan mungkin akan bertambah tenat jika tiada resolusi difikirkan bermula dari sekarang. Mahasiswa adalah golongan intelek yang sudah sedia tahu tentang etika, seharusnya perkara seperti ini tidak berlaku setelah mendapat segulung ijazah dan kemudiannya berhadapan dengan dunia luar. Di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) sendiri contohnya, Kempen Mahasiswa Sedar 2009 (MAHAR’09) yang baru sahaja berlalu merupakan antara titik mula kepada jalan-jalan lain untuk ‘re-engineering’ imej mahasiswa UTM.

Dalam membentuk akhlak mahasiswa, para pensyarah juga tidak terkecuali memainkan peranan. Ciri-ciri akhlak terpuji hendaklah diamalkan di dalam kehidupan kerana mahasiswa melihat pensyarah sebagai role model yang layak dicontohi. Imam al-Ghazali telah memperincikan 10 peranan pelajar dan 8 peranan guru berhubung dengan adab kesopanan yang telah dihuraikan di dalam kitab Ihya’ Ulumuddin. Amat menarik untuk direnungi peranan guru yang kelapan seperti yang dinyatakan oleh Imam al-Ghazali di dalam adab kesopanan iaitu; ‘Guru harus mengamalkan sepanjang ilmunya. Jangan perkataannya membohongi perbuatannya. Kerana ilmu dilihat dengan mata hati dan amal dilihat dengan mata kepala. Yang mempunyai mata kepala lebih banyak.’ (PM. Dr. Ishak Suliaman, API UM)

Oleh itu, saya mengharapkan agar mahasiswa yang bakal keluar dari kampus UTM ini nanti adalah mahasiswa yang tinggi nilai akhlaknya. Bagi memastikan perkara ini direalisasikan, tenaga bersama antara mahasiswa terutamanya, amat diperlukan supaya bergerak di dalam satu barisan untuk mengangkat kembali martabat tenaga mahasiswa yang disanjungi satu ketika dahulu. Ayuh bangun mahasiswa!

P/S: Artikel ini sepatutnya dikeluarkan dalam Seruan Jumaat PMI UTM Skudai beberapa minggu yang lalu, namun gagal dikeluarkan atas masalah teknikal.

Post a Comment

0 Comments