Ticker

6/recent/ticker-posts

Barisan Promahasiswa Mula Bangkit di Kampus

HARI mengundi bagi memilih barisan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) sesi 2008/2009 sudah berakhir dan pengumuman jawatan Presiden atau Yang Dipertua baru serta barisan kabinet bakal diumumkan tidak lama lagi bagi menggantikan kepemimpinan lama yang tamat tempoh.

Walaupun masih menguasai di majoriti universiti pada pemilihan kali ini, namun kerusi dimenangi kumpulan proaspirasi merosot berbanding tahun sebelumnya, sekali gus membuktikan kebangkitan promahasiswa di beberapa institusi pengajian tinggi awam (IPTA) terutama di Lembah Klang.

Bekas Yang Dipertua (YDP) Majlis Perwakilan Mahasiswa Universiti Malaya (MPMUM), Afandy Sutrisno Tanjung, berkata peralihan undi daripada proaspirasi kepada promashasiwa disebabkan beberapa faktor tertentu termasuk kesan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-12 tahun lalu.

Beliau yang pernah bertanding atas tiket proaspirasi, berkata faktor kejayaan Pakatan Rakyat merampas lima negeri pada PRU ke -12 mempengaruhi pelajar untuk menyokong promahasiswa.

"Propaganda di luar kampus yang memburuk-burukkan proaspirasi juga menjadi punca utama. Isu seperti tuduhan proaspirasi meletakkan kepala babi di surau Akademi Pengajian Islam UM dan dakwaan fitnah Timbalan Naib Canselor (TNC) Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Prof Madya Datuk Dr Azarae Idris turut dimanipulasi kumpulan promahasiswa untuk menang pemilihan kali ini."

"Faktor lain termasuklah perpecahan dalaman calon proaspirasi sendiri. Oleh itu, kemenangan kali ini menjadi pengajaran untuk berkhidmat lebih baik terutama berkaitan kebajikan pelajar," katanya.

Sementara itu, bekas Presiden Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Muhammad Adib Hatim, berkata suasana di universiti itu tidak boleh disamakan dengan di UM kerana walaupun promahasiswa memenanginya sejak 10 tahun lalu ia dilakukan secara sihat dan bukan pertandingan kepartian ekstrim.

Bersetuju dengan Afandy, beliau juga merasakan PRU ke-12 memberi kesan kepada pemilihan MPP kali ini dan ia tidak terhenti di situ saja malah berterusan hingga ke pilihan raya kecil Kuala Terengganu.

"Pandangan semua orang perlu didengar kerana pengundi sudah bijak menilai yang baik atau sebaliknya."

"Kami tidak mahu dikaitkan dengan parti politik luar kerana ini adalah pemilihan MPP dan isunya juga berlegar sekitar kampus saja."

"Kami menyokong sesiapa juga yang mampu membawa perubahan kepada mahasiswa dan jujur dalam perjuangan," katanya.

Timbalan Menteri Pembangunan, Usahawan dan Koperasi, Datuk Saifuddin Abdullah, berkata sebagai bekas pemimpin pelajar, beliau berpendapat mahasiswa berhak menentukan sendiri corak politik di kampus.

Beliau yang juga bekas Presiden Majlis Belia Malaysia dan bekas Presiden Persatuan Bahasa Melayu Universiti Malaya, berkata pelajar bebas menentukan sama ada hendak bertanding di atas tiket individu atau berkumpulan.

"Setahu saya, tiada peraturan yang melarang mahasiswa bertanding secara berkumpulan dan jika mereka menggelarkan kumpulan atau diri dengan nama tertentu, itu adalah hak mereka."

"Tetapi saya tidak bersetuju jika pengurusan universiti melabel mahasiswa sebagai prokerajaan atau propembangkang kerana tindakan sedemikian akan menimbulkan diskriminasi dan sekatan yang tidak sewajarnya," katanya ketika diminta mengulas mengenai gelaran yang dilabelkan golongan pelajar terhadap kumpulan mereka sendiri pada pilihan raya kampus, baru-baru ini.

Walaupun Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) yang difahamkan sebagai kubu terkuat promahasiswa sejak 10 tahun lalu, pihak pentadbirannya tidak pernah melabelkan apa-apa gelaran kepada semua calon yang bertanding.

Timbalan Rektornya, Datuk Hamidon Abdul Hamid, berkata jika benar pun pelajarnya menggelar diri masing-masing dengan sebarang nama, pihaknya mahu MPP yang dipilih bekerja sama dalam menjaga kebajikan semua pelajar.

"Selain kebajikan, tugas utama mereka adalah memastikan penyatuan umat untuk seluruh warga universiti, selain memberi keutamaan kepada isu lebih besar seperti serangan Israel terhadap Gaza dan bukan hanya untuk golongan tertentu saja."

"Selepas tamat pengajian nanti terpulang kepada mereka jika ingin aktif dalam mana-mana parti politik kerana yakin kami mampu melahirkan pemimpin pelajar berfikiran kritikal," katanya.

Sumber:Berita Harian-02/02/09

Post a Comment

0 Comments