Salam mahasiswa. Sekitar jam 10.20 malam, 30 Januari 2009, ana dan sahabat-sahabat MPP UTM yang lain bersama-sama bertolak ke perhentian bas Fakulti Alam Bina (FAB) untuk bergerak ke Putrajaya. Turut bersama dengan kami pada malam itu ialah ahli-ahli Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) UTM. Perjalanan yang mengambil masa lebih kurang 5 jam itu bermula kira-kira pada pukul 11.00 malam. Beberapa kali bas terhenti enjin menyebabkan kami tidak lena tidur. Sampai di Putrajaya, ana sendiri pening-pening dan hampir termuntah apabila bas tidak henti-henti berpusing di tapak meletak kenderaan kerana pemandu bas tidak tahu di mana hendak memparkir bas. Alhamdulillah, ketika azan Subuh berkumandang, kami berhenti di Masjid Putra untuk membersihkan diri dan menunaikan solat Subuh.
Pukul 7.00 pagi, kami bertolak ke Putrajaya International Convention Centre (PICC) dan mengisi perut dengan sarapan pagi. Selepas sarapan, kami bergerak ke Dewan B, tempat konferens berlangsung. Peserta dari kampus-kampus lain di seluruh negara turut hadir ke konferens tersebut, antaranya dari UiTM Terengganu, UMS, Unimap, UDM, dan lain-lain. Hampir penuh juga dewan itu untuk memuatkan wakil-wakil pelajar dan ahli PEMADAM seluruh Malaysia. Pelbagai video menarik disajikan kepada para peserta sebelum konferens bermula.
Ceramah Malaysia Bebas Dadah 2015 disampaikan oleh wakil dari PEMADAM Kebangsaan pada pukul 9.35 pagi. PEMADAM merupakan sebuah badan NGO yang proaktif membantu kerajaan mencegah dadah dan berperanan memberi pendidikan untuk mencegah dadah kepada masyarakat melalui sebaran mesej anti-dadah. Dengan bertemakan "Malaysia Bebas Dadah 2015", pihak PEMADAM ingin mengurangkan kadar penagihan dadah di kalangan remaja yang semakin berleluasa. Ana cukup tertarik dengan kata-kata penceramah, "Jangan tanya apa yang orang lain sumbang, tetapi tanyalah apa yang kita nak sumbang." Sebagai mahasiswa berpersonaliti unggul, kita sepatutnya sentiasa berfikir untuk memberi sumbangan kepada masyarakat. Sumbangan yang bagaimana itu, terpulang kepada sejauh mana kita sanggup berkorban. Bukan sahaja dari segi kewangan, malah tenaga kita, ilmu kita juga boleh disumbangkan agar masyarakat lebih sedar akan bahaya dadah. Penceramah turut menyeru mahasiswa bertindak bersama-sama PEMADAM untuk membanteras masalah penagihan dadah di negara ini.
Sesi konferens pagi itu lebih meriah lagi dengan kehadiran Mejar Dr. Faiz Khaleed sebagai penceramah slot "Relationship". Dr. Faiz banyak mengkaitkan pengalaman beliau sepanjang mengikuti latihan angkasawan dalam ceramahnya dan nyata para peserta sangat tertarik dengan ceramah beliau melalui soalan-soalan yang diberikan semasa sesi soal jawab. Beliau menerangkan bahawa tidak semua orang seperti kita, jangan fikir orang lain boleh memahami sesuatu sebagaimana yang kita fahami. Oleh itu, komunikasi berkesan sangat penting sebagai seorang pemimpin. "It's OK to be poyo" menjadi ayat trademark pengerusi majlis selepas ceramah itu.
Ceramah seterusnya adalah berkaitan dengan pengurusan kewangan yang disampaikan oleh Encik Mohamed Akwal Sultan, CEO daripada Agensi Kewangan dan Pengurusan Kredit (AKPK) Bank Negara Malaysia. Beliau banyak menerangkan tentang pengurusan kad kredit dan tips-tips menguruskan kewangan sebelum memperkenalkan AKPK (dan buku Money $ense) kepada peserta. Kesuntukan masa menyebabkan para peserta tidak berkesempatan untuk bertanya soalan kepada beliau, namun beliau sudi menjawab soalan-soalan tersebut melalui e-mail.
Slot ringkas "Attitude" yang disampaikan oleh Encik Amirul Iskandar Mannan merupakan slot terakhir sebelum makan tengahari dan solat. Bagi ana, slot beliau lebih banyak memberi impak kepada peserta kerana pengisiannya yang menarik dan aplikasi yang lebih 'real' dalam kehidupan seharian. "Be positive!" - ana akan ingat sampai bila-bila.
Ana kurang tahu mengenai slot di sebelah petang kerana ana tidak berada di dalam Dewan B selepas Fun Time. Ana menemani seorang sahabat MPP yang kurang sihat di surau muslimah pada petang itu, mungkin keletihan melampau menyebabkan keadaannya menjadi begitu. Apa yang ana dengar daripada sahabat-sahabat lain, ceramah Dr. Maznah Hamid agak menarik.
Petang itu kami bertolak pulang ke kampus pada pukul 6.30 dan tiba di perhentian bas FAB selepas singgah sebentar di bangunan Harta Bina pada pukul 12.00 tengah malam. Penat hingga ada sahabat MPP yang diserang demam pada pagi ini dan ana sendiri kehilangan suara sebenar. Walaupun begitu, induksi MPP tetap diteruskan dan alhamdulillah, sekarang ana menaip di sini.
p/s: Nak tahu tentang induksi MPP? Lain kali ana ceritakan, insya'ALLAH.
0 Comments
Thank you for coming by. Comments are your responsibility. Any comments are subjected to the Act 588 MCMC 1988. Comment wisely, and do it with pure intentions. Any comment with link(s) will be deleted to avoid spam.
For any inquiries, email: sunahsakura@gmail.com