Ticker

6/recent/ticker-posts

Salam Takziah

"Dari bumilah KAMI ciptakan kamu, dan ke dalamnya KAMI akan mengembalikan kamu dan daripadanya pula KAMI akan mengeluarkan kamu sekali lagi". (20: 55)

Salam. Hari ini ana mendapat tahu seorang sahabat ana telah kehilangan ayahanda tercinta. Khamis lalu, 18 Disember 2008 merupakan tarikh kelahiran ayahanda ana, tetapi ia juga merupakan tarikh pemergian ayahanda sahabat ana, Almarhum Haji Tuan Mat. Sekalung takziah dan al-Fatihah buat rohnya, semoga mendapat tempat bersama orang-orang yang beriman di sisi ALLAH.

"Tiap-tiap yang berjiwa akan merasakan mati. Kemudian hanyalah kepada KAMI kamu dikembalikan." (29: 57)

Sesungguhnya kematian itu pasti. Tidak kira bila, bagaimana, siapa dan di mana, semua akan merasai mati. Namun, sejauh manakah kita bersedia untuk menghadapi kematian? Cukupkah bekalan amal yang dibawa? Setiap Mukmin mesti sentiasa mengingati kematian, kerana di sebalik perbuatan sentiasa mengingati matilah yang akan meningkatkan amal ibadah kepadaNYA.

Ibn Mas’ud berkata, Rasulullah SAW bersabda bermaksud: "Siapakah Mukmin utama? Jawab Nabi SAW: Yang terbaik budi akhlaknya. Dan Mukmin yang manakah yang terkaya? Jawab baginda: Yang banyak ingat mati, dan baik pula persediaannya."

Kita sewajarnya ingat benar-benar akan pesan Rasulullah SAW: "Banyak-banyaklah kamu mengingati kejadian yang akan menghancurkan segala kelazatan iaitu maut (mati)." (Hadis riwayat At-Tirmizi)

Abu Hamid Allafaf pernah berkata: "Siapa yang sering ingat mati, maka dimuliakan dengan tiga macam iaitu: segera bertaubat, terima terhadap rezeki (tidak tamak) atau qanaah dan tangkas beribadat." (Kitab Tanbihul Ghafilin)

Oleh itu, tanamkan keimanan dalam diri dan istiqamahlah dalam beramal ibadah agar ditempatkan di kalangan orang-orang yang bertaqwa setelah kematian menjemput. Apabila tidak lupa kepada mati, maka kesannya sungguh baik. Akhlaknya terpuji, ibadatnya bermutu dan menjadi hamba yang sangat disayangi dan diredai ALLAH. Dalam mencari rezeki, dia tidak tamak haloba kerana dia tahu kehidupan di dunia ini hanya persinggahan. Jika melakukan kesilapan, dia akan segera bertaubat kerana dia tahu masa kematian itu adalah rahsia ALLAH.

"Apakah apabila kami telah mati dan telah menjadi tanah serta menjadi tulang belulang, apakah benar-benar kami akan dibangkitkan (kembali)?." (37:16)

Al-Fatihah buat almarhum, semoga doa anak soleh sentiasa menerangi pusaramu. Amiin.

Post a Comment

1 Comments

Thank you for coming by. Comments are your responsibility. Any comments are subjected to the Act 588 MCMC 1988. Comment wisely, and do it with pure intentions. Any comment with link(s) will be deleted to avoid spam.

For any inquiries, email: sunahsakura@gmail.com