Salam. Malam ini surau Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching menjadi tempat ana menginap. Bukan tak ada saudara mara di ibu negeri Bumi Kenyalang ini, tetapi adik kepada ayahanda ana tu ada hal lain dan terpaksa balik ke kampung. Terserempak pula dengan beberapa orang muslimah yang terlepas 'flite' ke Negeri di Bawah Bayu. Merekalah yang menemani ana di sini malam ini.
Balik ke kampus esok menjanjikan banyak perkara yang perlu ana uruskan. Laporan yang masih belum mencapai 100% lengkap harus disiapkan segera biarpun hari berlansungnya AGM JKM KTC 2008 bakal menjelang kurang lebih lima hari lagi. Tidak sabar rasanya ana hendak melihat wajah-wajah baru bakal pemimpin kolej akan datang. Bagaimana agaknya persiapan mental dan fizikal mereka untuk menjadi wakil siswa-siswi kolej yang bakal menerima amanah berat di bahu mereka? Bersediakah mereka dengan dua pasang kaki yang dipisahkan halatujunya, sebelah berada di syurga dan sebelah lagi di neraka?
Hadis Ibnu Umar r.a: Diriwayatkan daripada Nabi s.a.w katanya: Baginda telah bersabda: "Kamu semua adalah pemimpin dan kamu semua akan bertanggungjawab terhadap apa yang kamu pimpin. Seorang pemerintah adalah pemimpin manusia dan dia akan bertanggungjawab terhadap rakyatnya. Seorang suami adalah pemimpin bagi ahli keluarganya dan dia akan bertanggungjawab terhadap mereka. Manakala seorang isteri adalah pemimpin rumah tangga, suami dan anak-anaknya, dia akan bertanggungjawab terhadap mereka. Seorang hamba adalah penjaga harta tuannya dan dia juga akan bertanggungjawab terhadap jagaannya. Ingatlah, kamu semua adalah pemimpin dan akan bertanggungjawab terhadap apa yang kamu pimpin."
Adik-adik, amanah sebagai pemimpin itu sangat berat. Bersedialah dengan tanggungjawab antum untuk membimbing sahabat-sahabat lain, menjaga kebajikan mereka dan menjadi suara yang membawa kehendak serta keinginan mereka. Amanah yang diberikan kepada antum bukan sekadar anugerah, ia sesuatu yang perlu antum laksanakan dengan seikhlas hati. Kita tidak mahu setelah mendapat tempat dalam organisasi, segala tugas diabaikan. Buktikan bahawa antum boleh membawa kolej kita ke mercu kejayaan.
Dalam berorganisasi, jangan lupa pada tujuan asal antum ke sini. Akademik jangan dilupakan. Ana sendiri sangat faham bahawa apabila berorganisasi, kita telalu asyik hingga kadang-kadang kerja itu lebih daripada masa. 24 jam sehari seolah-olah tidak cukup, sedangkan ALLAH telah menetapkan masa yang sama buat semua makhlukNYA. Sebagai pemimpin, setiap detik yang kita lalui sangat-sangat berharga. Masa yang terluang itulah yang perlu kita gunakan untuk mengulangkaji pelajaran yang tertinggal semasa sedang sibuk berprogram.
"Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan kesabaran." (Al-Asr : 1 – 3). Antum akan melalui saat ini tidak berapa lama lagi.
Adik-adik, paling utama yang perlu antum titikberatkan dalam memimpin sahabat-sahabat adalah niat di dalam hati. Ana harap antum sematkan dalam hati, niat yang betul dan keikhlasan sebagai pemimpin. Apa yang kita niatkan, itulah yang akan kita dapat.
Dari Amirul Mu’minin, Abi Hafs Umar bin Al Khottob radiallahuanhu, dia berkata: Saya mendengar Rasulullah bersabda: "Sesungguhnya sesuatu amal itu dengan niat. Sesungguhnya setiap orang akan mendapat apa yang diniatkan. Sesiapa yang berhijrah kerana mendapat keredaan ALLAH dan RasulNYA maka dia akan mendapat ALLAH dan RasulNYA. Sesiapa yang berhijrah untuk mendapatkan dunia atau wanita yang ingin dikahwininya maka dia akan mendapat apa yang diniatkannya itu".
Sekadar berkongsi ilham yang terlintas di fikiran tatkala insan lain sedang nyenyak tidur di dalam surau Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching. UTM Skudai, nantikan kepulangan ana.
1 Comments
assalamualaikum sunah...moga akan jadi seorang pemimpin yg baik satu hari nanti...:)
ReplyDeleteThank you for coming by. Comments are your responsibility. Any comments are subjected to the Act 588 MCMC 1988. Comment wisely, and do it with pure intentions. Any comment with link(s) will be deleted to avoid spam.
For any inquiries, email: sunahsakura@gmail.com