Salam. Hari ini ana mendengar kisah daripada seorang sahabat. Kisah perjuangan seorang mujahidah yang sentiasa ditimpa pelbagai ujian dariNYA. Sahabat ana (tidak perlu ana sebut namanya) ini lahir di Kuwait, membesar di Malaysia. Mak dan abahnya bersama-sama menimba ilmu di Tanah Ratu. Entah mengapa tiba-tiba akhir-akhir ini sahabat ana agak terganggu dengan berita yang mengharukan hidupnya. Berita tentang abahnya yang ingin membina masjid baru, yang kemudiannya menyebabkan kedua orang tuanya kembali ke Malaysia untuk menyelesaikan masalah yang timbul. Peristiwa yang hampir menyebabkannya rebah namun berdaya untuk dihadapi dengan sokongan sahabat-sahabat dan munajat kepada Sang Pencipta baru sahaja diselesaikan dua hari lepas. Alhamdulillah, berkat doa dan kesabaran menghadapi ujian ALLAH, abahnya berubah fikiran selepas berbincang dengan atuk di kampung.
Apa yang ingin ana bincangkan bukanlah tentang sahabat ana semata-mata, namun tentang bagaimana kita menghadapi tekanan yang bermacam-macam dalam kehidupan seharian. Sebagai seorang Muslim, adakah kita semua tahu tentang tarbiyyah? Adakah kita semua tahu kehidupan ini adalah salah satu proses tarbiyyah? Kita adalah sebaik-baik makhluk ciptaan ALLAH, namun kita tidak akan terlepas daripada ujianNYA. Ujian ALLAH merupakan tarbiyyah daripadaNYA. Manusia dituntut untuk sabar menghadapi ujian hidup di dunia. ALLAH bertegas bahawa sifat sabar merupakan instrumen paling penting untuk setiap makhlukNYA menghadapi setiap ujian yang diberikan demi menguji keimanan.
Sabar bermaksud hati teguh dan tidak melawan terhadap sesuatu dan lawannya ialah gelisah. ALLAH ada merakamkan kata-kata satu kaum yang menidakkan sabar dan berputus asa dengan rahmat ALLAH.
FirmanNYA yang bermaksud:
“Sama saja kepada kita, sama ada kita menggelisah, mengeluh atau kita bersabar, tiadalah sebarang jalan bagi kita untuk melepaskan diri (daripada azab itu).” (Surah Ibrahim, ayat 21)
Menurut Dr Mohd Yusuf Al-Qardhawi, sabar adalah sebesar-besar akhlak al-Quran kerana kalimah itu sering disebut dalam kitab suci dan ia bukan saja merujuk kepada surah mengajar manusia mengenai iman tetapi juga surah yang menerangkan cara hidup manusia mukmin.
Sebagai seorang Muslim, kita perlu sedar bahawa kaedah terbaik menangani tekanan adalah dengan berpegang erat kepada ajaran dan syariat Islam. Islam menganjurkan mereka yang menghadapi tekanan dan kesusahan perlulah bersabar, tenang, sentiasa rasional dan yakin dengan ketentuan ALLAH.
ALLAH memberikan panduan terbaik dalam menangani tekanan melalui firmanNYA yang bermaksud:
“Demi sesungguhnya! KAMI akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan daripada harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang yang sabar (iaitu) orang yang apabila mereka ditimpa sesuatu kesusahan, mereka berkata: Sesungguhnya kami adalah kepunyaan ALLAH dan kepada ALLAH jugalah kami kembali.” (Surah al-Baqarah, ayat 155-156)
Seperti ketentuan ALLAH, setiap apa yang ada di dunia ini berpasangan, seperti mana siang dan malam atau lelaki dan perempuan, begitu jugalah kesenangan dan kesukaran atau rahmat dan dugaan.
Kita harus menerima hakikat kehidupan manusia akan selalu diuji oleh ALLAH. Kita perlu meletakkan keyakinan bahawa ujian seperti tekanan sebegini adalah bertujuan untuk memantapkan keimanan, ketakwaan, kesyukuran dan rasa cinta kita kepada-Nya. Namun, hati akan menjadi tenang sekiranya kita kembali kepada ALLAH. Apa jua yang dilakukan mestilah berdasarkan kepada Al-Quran dan Al-Sunnah disertai dengan niat ikhlas semata-mata untuk mendapat keredhaan ALLAH. Terdapat beberapa tips yang dianjurkan dalam Islam bagi menangani tekanan hidup. Lima daripadanya ialah:
- Biasakan diri berada dalam keadaan berwuduk
Jiwa kita akan menjadi tenang jika kita membiasakan diri mengambil wuduk sebelum melakukan pekerjaan. Kerja yang susah akan menjadi senang dan mudah diselesaikan. Para pelajar misalnya, disarankan agar membiasakan diri mengambil wuduk sebelum mengulangkaji pelajaran agar apa yang dibaca akan mudah diingati.
- Perbanyakkan membaca Al-Quran
Ganjaran yang besar akan diberikan ALLAH bagi sesiapa yang membaca Al-Quran walaupun satu ayat. Waktu yang sesuai bagi kita untuk membaca Al-Quran ialah selepas solat lima waktu dan waktu-waktu lain seperti ketika berehat dan sebelum tidur. Oleh itu, jadikanlah Al-Quran sebagai teman paling akrab sepanjang waktu.
- Banyakkan solat sunat
Sebagai makhluk paling mulia di sisi ALLAH, kita disuruh membanyakkan amal ibadat kita sehari-hari. Antaranya dengan mendirikan solat sunat. Solat sunat hajat, solat sunat taubat, solat sunat tasbih adalah antara pelbagai solat sunat yang terdapat dalam Islam. Kita bangun sepertiga malam dan mendirikan solat-solat sunat tersebut agar beroleh ketenangan dan kekuatan daripada ALLAH.
- Selalu berdoa kepada ALLAH
ALLAH telah berpesan iaitu jangan menyembah selain daripadaNYA. Ini bererti kita disuruh berdoa hanya kepada ALLAH Yang Maha Esa dan dilakukan secara berterusan. Waktu-waktu mustajab berdoa adalah pada malam Jumaat, tengah malam, pagi sebelum waktu Subuh, malam hari raya, ketika waktu azan dan iqamah. Insya'ALLAH, ALLAH akan memakbulkan doa setiap hambaNYA yang benar-benar ikhlas. Namun, kita perlulah sedar bahawa sebarang rezeki tidak datang bergolek sekiranya tanpa usaha yang bersungguh-sungguh. Maka kita perlulah berusaha supaya mencapai sesuatu di samping berdoa hanya kepada ALLAH Yang Esa.
- Bersangka baik dengan ALLAH
Kita sebagai manusia biasanya tidak akan terlepas daripada berhadapan dengan ujian dalam hidup. Semuanya itu adalah ujian daripada ALLAH yang berkuasa bertujuan menguji keimanan kita sebagai hambaNYA. Oleh itu, kita mestilah bersangka baik dengan ALLAH dan janganlah menyalahkanNYA jika terjadi sesuatu ke atas diri kita. Musibah berlaku selalunya juga adalah kerana kezaliman diri sendiri. Sentiasa bermuhasabah dan kita juga mesti percaya bahawa tentu ada hikmah di sebalik kejadian itu.
0 Comments
Thank you for coming by. Comments are your responsibility. Any comments are subjected to the Act 588 MCMC 1988. Comment wisely, and do it with pure intentions. Any comment with link(s) will be deleted to avoid spam.
For any inquiries, email: sunahsakura@gmail.com