Ticker

6/recent/ticker-posts

Ikramah Penentang Jadi Pembela

"Dahulu aku berperang untuk al-Latta dan al-Uzza. Sekarang, aku serahkan jiwaku dengan ikhlas kepada ALLAH." - Ikramah bin Abu Jahal.

Salam alaik... Alhamdulillah, seperti yang tertera pada muka depan novel sejarah Islam karya Abdul Latip Talib ini, sebegitulah jalan cerita novel berjudul "Ikramah Penentang Jadi Pembela" yang kini berada di tangan Akh Hadid. Seronok mendalami kisah perjuangan Ikramah selama 2 hari mencetuskan keinginan ana untuk berkongsi rentetan peristiwanya dengan para pembaca. Ikramah yang pada zaman kebatilannya begitu memusuhi Rasulullah S.A.W merupakan anak kepada Abu Jahal. Para pengikutnya sentiasa memberi perumpamaan 'ke mana tumpahnya kuah kalau bukan ke nasi' bagi menggambarkan peribadi Ikramah yang lebih kurang sama dengan ayahnya. Ikramah sebelum Islamnya sangat membenci Rasulullah S.A.W. Ikramah pernah membantu bapanya Abu Jahal melemparkan najis kepada Rasulullah S.A.W yang ketika itu sedang sembahyang di depan Kaabah. Pada hari yang lain dia membantu bapanya mencekik leher Rasulullah S.A.W. Malah dalam satu mesyuarat yang dihadiri oleh pembesar Quraisy, Ikramah mencadangkan supaya Rasulullah S.A.W dibunuh. Setelah menjadi salah seorang pahlawan Quraisy, Ikramah menentang pahlawan Islam dalam peperangan Uhud dan Badar namun gagal membunuh Rasulullah S.A.W dalam kedua-dua peperangan tersebut. Dia akhirnya lari ke Yaman sebelum ke Habsyah. Di Yaman kehadirannya tidak diterima oleh Raja Yaman. Semasa dalam pelayaran ke Habsyah pula, kapal yang tumpanginya dilanda ribut dan hampir karam. Semua penumpang dalam kapal itu berdoa termasuk Ikramah. Pada mulanya, dia berdoa kepada al-Latta dan al-Uzza namun doanya tidak berhasil meredakan ribut. Akhirnya dia cuba berdoa kepada ALLAh, kalau selamat dari bencana itu dia akan kembali ke Mekah untuk menemui Nabi Muhamad. Dengan izin ALLAH, ribut yang menggila akhirnya reda. Apabila kembali ke Mekah, isterinya yang bernama Atikah tidak berjaya ditemui. Anak Ikramah, Omar mengatakan ibunya telah pergi mencari Ikramah bersama seorang hamba abdi bernama Laila. Ikramah yang mendengar kata-kata anaknya itu berasa risau akan keselamatan isterinya. Dia keluar semula dari Mekah untuk mencari Atikah. Setelah menemuinya, beliau dikejutkan dengan berita Atikah yang telah memeluk Islam dan sanggup merayu kepada Rasulullah S.A.W untuk memaafkan suaminya. Di sinilah terpancar keikhlasan seorang isteri kepada suami yang dicintainya. Ikramah juga memeluk Islam setelah berjumpa dengan Rasulullah S.A.W dan menjadi salah seorang pahlawan Islam dalam beberapa peperangan. Pengislamannya kadang-kadang dipertikaikan oleh beberapa pengikutnya yang lebih awal memeluk Islam daripadanya. Mereka mengatakan Ikramah ada udang di sebalik batu dan mengesyaki dia ingin membunuh Rasulullah S.A.W secara halus. Bagaimanapun, mereka silap apabila Ikramah menunjukkan rasa cinta yang tidak berbelah bahagi kepada Islam walaupun setelah kewafatan baginda. Peperangan terakhir yang diikuti oleh Ikramah ialah Perang Yarmuk di mana dia mengetuai pasukan berani mati seramai 400 orang. Semangat pasukannya yang berkobar-kobar menegakkan kebenaran Islam menaikkan semangat jihad tentera Islam yang lainnya. Mereka turut menyerbu ke arah musuh lalu berjuang bermati-matian sehingga beroleh kemenangan. Ikramah telah menemui syahid di Yarmuk. Detik-detik ketika Ikramah menemui ajal agak menyayat hati. Dapatkan novel ini di pasaran untuk mengetahui lebih lanjut kisahnya.

Post a Comment

0 Comments